Saturday, September 20, 2008

aku datang dari mana aku datang.. tapi aku telah datang.. telapak kakiku telah melihat jalan... maka aku berjalan... aku akan terus berjalan kalau aku mau.. atau aku akan berhenti... bagaimana ku datang ke sini.... bagaimana aku berjalan disini.. aku tidak tahu.. dan kenapa harus aku disini semua itu sudah ditentukan.. apa harus aku tahu aku belum ketahui.. samapi bila harus ku tahu jawapannya.. atau aku sudah punya jawapannya aku juga tidak tahu... Allah tuhanku,islam agamaku.. itu yang aku tahu.. dan aku yakin sekali dengan apa yang aku tahu..

1 comment:

Anonymous said...

Baiklah, oleh kerana aku dipinta untuk mengkritik karya ini, jadi aku tak keberatan nak berbuat demikian.

Pertama, kita lihat dari segi teknikalnya. Sajak ini tiada tajuk, malah tiada nama penulis. Situasi ini akan membuatkan pembaca terhuyung-hayang mencari punca apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh si penyajak.

Kedua, penggunaan tanda baca yang menyedihkan. Ada baris yang tiada tanda baca langsung. Simbol noktah berturut-turut itu tidak digalakkan sama sekali, kerana ia tidak akan mematikan pokok bicara. Selepas noktah, perlunya huruf besar di pangkal ayat yang baru.

Ketiga, tiada sistem pemerengganan. Hasilnya, tiada pemisahan antara isi-isi yang cuba dizahirkan oleh si penyajak. Penyatuan semua ayat di dalam satu perenggan adalah tidak digalakkan kerana ia membuatkan otak pembaca tidak berlegar-legar ke seluruh cerita yang dibawa. Terperuk di satu sudut, kerana menganggap seluruh puisi adalah cuma satu cerita. Ya, sajak itu harusnya bernada sebuah penceritaan.

Keempat, kita lihat dari segi bahasanya pula. Sajak ini keseluruhannya tidak puitis. Tiada aplikasi perkataan bombastik di dalamnya. Aku cadangkan beberapa gantian:
datang = tandang
melihat = meneroka
berjalan = bertapak
ditentukan = dicaturkan

Kelima, terdapat pengulangan kata di dalam sajak ini. Menunjukkan bahawa si penyajak sudah kekeringan idea, kekurangan kosa kata dan malas membaca mahupun berfikir secara kritikal. Perkataan "bagaimana", "apa", "jawapannya", "berjalan" diulang beberapa kali membuatkan susur galur pembacaan melewah-lewah.

Keenam, sajak ini kurang metafora dan perbandingan yang segar di dalamnya. Terlalu 'direct', dan tidak memaksa pembaca untuk bebas berfikir seluas-luasnya. Malangnya, aku tiada apa cadangan akan hal ini, kerana aku masih tidak tahu apa sebenarnya motif sajak ini.

Ketujuh, terdapat beberapa kesalahan umum ejaan di dalam sajak ini, menamppakkan lagi ketidaksungguhan si penyajak. Contohnya, perkataan "disini" di baris 8 dan 10, sepatutnya dijarakkan "di sini". Selain itu, perkataan "sampai" bukannya "samapi". Huruf I di dalam perkataan "islam" sepatutnya adalah huruf besar kerana ia adalah kata nama khas. Alasan tersalah taip atau tersalah cetak tidak boleh diberikan oleh si penyajak kerana sebelum sesuatu sajak itu dilancarkan, ia mesti melalui proses penelitian yang mendalam, dan semakan yang berkali-kali. Sekali tersilap, sajak itu dianggap tidak matang.

Kelapan, keseluruhannya, sajak ini perlu dirombak dengan lebih besar. Sajak ini mesti dibaiki semula, bukannya ditinggalkan begitu saja untuk beralih ke sajak yang baru. Ibarat sebuah luka yang mesti dibalut, begitu juga dengan sajak.

Kesembilan, aku memuji penyajak ini kerana dia bersedia untuk sajaknya dikritik, kerana tidak semua penyajak yang berfikiran begitu. Bermakna, sajak ini bukan ditulis secara 'syok sendiri', kerana ada 'sesuatu' agenda penting yang ingin disampaikan kepada pembacanya. Syabas aku ucapkan kepada si penyajak.

Semoga, kritikan membina ini, dapat memberikan semangat agar kamu ingin terus bersajak secara serius di kemudian hari. Orang yang menghayati sajak, bukanlah seorang yang dikata 'sastera', tapi adalah jenis manusia yang sedia berfikir di luar kotak pemikirannya.

Teruskan menulis, Akim.

p/s: Minta maaf jika ada yang terkasar bahasa. Kritikan sajak tidak boleh berlapik-lapik supaya ia dapat memantapkan lagi cara penulisan kamu. Ia cuma sekadar perkongsian biasa yang aku curahkan setelah mempelajari teknik menulis sajak di GKLN. Aku juga masih mentah seperti kamu.